MEI 2022

Sarawak Fokus Pembangunan Ekonomi : Abang Jo


SABTU, 28 MEI 2022

MUKAH: Kerajaan Sarawak kini sedang meneliti hala tuju baharu bagi membangunkan negeri ini menjelang tahun 2030.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, menyedari keperluan itu Kerajaan Sarawak kini menerokai New Economic Growth dan New Revenew Engineering bagi memastikan Sarawak terus menjana pendapatan untuk membangunkan negeri ini. 

“Sebab itu, Kerajaan Sarawak pimpinan saya sekarang ini mencari hala tuju yang baharu iaitu New Economic Growth dan keduanya New Revenew Engineering.

“Alhamdulillah, kita ada ilham baharu untuk membangunkan Sarawak hingga tahun 2030,” katanya semasa berucap merasmikan Galeri Warisan Melanau, Oya di Dataran Oya pada Sabtu.

Premier menambah lagi, hala tuju ini juga merangkumi tenaga yang diperbaharui termasuklah hidrogen.

Premier juga berkata Kerajaan Sarawak telah meminda Rang Undang-Undang (RUU) Tanah di dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak lepas bagi membolehkan Sarawak meneroka apa yang ada di ruang udara iaitu Spekterum dan memiliki ruang udara untuk keperluan Mikro Satelit.

“Baru-baru ini kita telah meluluskan undang-undang tanah di mana undang-undang kita tidak ada menyebut siapa yang memiliki udara di atas tanah atau ruang udara di atas tanah. 

“Saya telah pinda dan DUN telah pun bersetuju asal sahaja ruang udara di atas tanah di Sarawak ia adalah kepunyaan Sarawak,” jelasnya. 

Sebelum berangkat balik, beliau telah diiringi Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah melawat ke Booth Pameran Komuniti bagi melihat pameran Alat Muzik Tradisional Melanau, Perubatan Tradisional Melanau, Permainan Tradisional Melanau, Makanan Tradisional Melanau dan melawat ke Oya Walk bagi menyaksikan juadah Belanggar Meja.

Sumber dari : Sarawakku